Call / WhatsApp 014-5513002

” LAFAZ CERAI MELALUI WHATSAPPS BOLEH KE? “

[ BAGAIMANAKAH jika seorang suami menceraikan isterinya talak tiga di dalam aplikasi WhatsApp lalu dia memadam mesej itu daripada telefonnya selepas keadaan kembali tenang? Isteri juga bertindak memadam mesej itu kerana tidak mahu hak suami untuk Kembali rujuk terbatal ]

Pertamanya, perlu ketahui bahawa setiap lafaz cerai yang dibuat hendaklah dilihat kepada penyempurnaan rukun dan syaratnya bagi menentukan sama ada ia memberi kesan terhadap jumlah talak.

Di dalam Kitab Iaanah al-Taalibin, menyatakan 5 rukun talak :
1. Suami
2. Isteri
2. Lafaz yang digunakan,
3. Qasad (Niat)
4. Wilayah (kuasa suami)

Menjawab persoalan diatas, fokus utama adalah dari segi lafaz yang dibuat oleh suami sama ada lafaz itu sarih (jelas) atau lafaz kinayah (tidak jelas).

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), walaupun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.” [Riwayat Abu Daud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)]

Berdasarkan soalan di atas, kami katakan bahawa lafaz cerai tersebut termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya sarih. Isu yang dinyatakan pembaca menyatakan selepas menghantar mesej cerai talak tiga itu, suami tidak berniat untuk menceraikan, tetapi menghantarnya kerana gagal menahan emosi.

Mahkamah Syariah telah memutuskan di dalam beberapa kes berkenaan lafaz melalui mesej ini. Sekiranya suami lafaz cerai melalui mesej tetapi tidak berniat menjatuhkan talak, maka lafaz talak tersebut tidak sah.

Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimile, SMS, e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah dan ia sah sekiranya disertai dengan niat.

Maka, semua perceraian hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah syariah untuk mensabitkan lafaz talak berkenaan sah atau tidak. Pihak Mahkamah Syariah perlu menyiasat lafaz tersebut terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

Semoga Allah SWT memberi kita semua kebahagiaan dan kesejahteraan di dalam rumahtangga. Amin.

Wallahua’lam

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *